Sabtu, 12 Januari 2013

LADAP KSSR TAHUN 3

LADAP KSSR Tahun 3 diadakan pada 12 Januari 2013 membuka tirai kursus bagi guru-guru Tahun 3 yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa LADAP sekolah. Kursus bertujuan mendedahkan kepada guru-guru yang terlibat mengenai kurikulum baharu. Bengkel pemantapan turut diadakan bagi memudahkan  guru-guru menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan dan Harian.


GB memantau 

Khusyuk mendengar penyampaian daripada Jurulataih Utama

Sessi bengkel penyediaan RPH

Selasa, 1 Januari 2013

Renungan...


Pemimpin Sekolah perlu bijaksana dan bijaklaksana

" Cikgu, kita harap mesyuarat di sekolah ini tidak perlu lama-lama dan panjang-panjang sampai Sembahyang Zuhur lewat," celah seorang ustaz sambil berdiri sewaktu aku selesai memulakan ucap aluan mesyuarat pertama sebagai Guru Besar baru sekolah itu. Semua mata tertumpu kepada aku dengan penuh debar dan suspen. Mungkin mereka pernah dengan cerita tentang aku. Seorang Guru Besar muda yang tegas dan ambisi sekali.

Aku tersenyum. Pengalaman sebagai GPK,Guru Besar dan NGO sebelum ini banyak mengajar aku erti matang dan bijaksana. Pengalaman sebagai pendebat, pemidato dan instruktor kursus cukup mudah mengatasi situasi yang menggugah ego bagi sesetengah pemimpin autokratik. Pengalaman sebagai pemimpin pelajar yang mesyuarat agung memakan masa masa tiga hari tiga malam dan banyak menjawab bagi pihak persatuan mengajar betapa pentingnya ketenangan dan kebijaksanaan dalam menghadapi tekanan.

" Terima kasih, ustaz. Inilah sahabat yang saya harapkan dalam membantu saya melaksanakan tugas sesuai dengan Firman Allah dalam Surah Ali Imran " Dan hendaklah ada dari kalangan kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.' Jika saya menyeleweng sila tegur. Kalau ustaz atau guru-guru tidak tegur atas kesalahan saya maka anda semua  bersubahah dan berdosa. Beritahu PPD atau Pengarah Pelajaran jika saya tidak mendengar nasihat dan melakukan kesalahan nyata." dengan tenang dan panjang lebar aku memberi "stroke" motivasi yang paradok dengan kebiasaan berfikir khalayak umum.

Bermula pada detik itu, ustaz ini yang merupakan al-hafiz menjadi rujukan dan sahabat akrab. Apa yang aku cakap aku buat hingga akhirnya ianya menimbulkan keyakinan dan kepercayaan para guru, ibubapa, murid-murid dan masyarakat untuk aku memacu sekolah ke arah lebih terbilang. Aku perhatikan ustaz ini sebahagian masanya banyak dihabiskan di sekolah. Beliau buat perkara yang perlu dibuat dan patut dibuat. Ianya menjadi acuan dan model untuk dicontohi.

Itu adalah sebahagian kecil pengalaman benar yang aku lalui sebagai ketua dan pemimpin di sekolah. Sebagai ketua dan pemimpin kita mesti memandang jauh dan melihat sesuatu dalam pandangan berbeza. Misalnya kita perlukan diagnos persekitaran. Kalau guru besar sebelum kita selalu tinggalkan sekolah tetapi sekolah dapat berjalan dengan baik walaupun tidak cemerlang tentunya sekolah ini akan dapat dipugar potensinya kalau kita sentiasa bersama-sama guru dan warganya . Kita yakin pasti sekolah ini akan mampu melonjak tinggi. Walau apa sekalipun pengetahuan dan kemahiran kita adalah sangat penting. Tanpa memahami dan melakukan sesuatu kita pasti tiada pengalaman yang akan mengasuh kita menjadi manusia yang bijaksana dan bijaklaksana.

Perkara yang paling tidak disukai oleh mana-mana ahli organisasi ialah ketiadaan integriti dan hipokrasi. Seorang ketua yang cakap tidak serupa bikin, kepura-puraan dalam berbagai wajah, tiada ikhlas pastinya melakukan kerjabuatnya tidak bijaklaksana. Justru itu ramai yang berkata bahawa "katakanlah yang benar walaupun pahit". Berasaskan pengalaman, ramai kawan-kawan melahirkan perasaan tidak puas hati tentang GPK dan guru-guru mereka. Bila ditanya pernah tak dipanggil dan berhadapan, mereka tidak melakukannya. Ciri pengecut dan "nak jaga hati melampau" ini sepatutnya tidak ada pada seseorang pemimpin. Aku tidak melalui denai kebiasaan ini. Aku melalui denai lain yang jarang dilalui orang tapi cukup menyeronokan.

Banyak cerita dan pengalaman bagaimana kita mampu menjadi pemimpin yang bijaksana dan bijaklaksana.
Pemimpin sekolah yang disegani kerana sahsiahnya. Pemimpin sekolah yang dihormati kerana ilmu dan kebolehanya. Aku ingin akhir catatan ini dengan kisah ceritera yang diceritakan oleh seorang sahabat mengenai dua tempayan. Tempayan pertama cantik molek tetapi tempayan kedua telah retak. Tempayan-tempayan ini digunakan untuk mengisi air oleh tuannya dari sungai ke rumahnya. Tiap hari tuannya akan mengandar kedua tempayan ini dari sungai ke rumahnya.

Namun setiap kali apabila tempayan-tempayan ini dikandar maka tempayan yang cantik akan sentiasa mengejek tempayan lama kerana sudah buruk, retak dan bocor. Apabila sampai di rumah hanya satu pertiga sahaja air dalam tempayan yang retak itu. Sementara tempayan yang cantik dengan sombong dan bangganya mengatakan dialah yang paling baik dan berguna.

Suatu hari tempayan yang retak dan buruk meluahkan perasaan kecewa dan sedih kepada tuannya agar dia diganti dengan yang baru. Tuannya tersenyum dan menjelaskan dia sengaja tidak mahu menukarnya dengan yang baru kerana ianya sangat memberi manafaat dan berguna. Tuannya memberitahu bahawa beberapa bulan yang lalu beliau menabur biji benih bunga di sepanjang laluan dari sungai ke rumahnya. Biji benih bunga itu tumbuh bercambah dan hari ini merimbun subur dengan bunga-bunga yang cantik kerana beroleh air yang cukup dari tempayan yang retak itu. "Tanpa air dari kamu, tiada bunga yang secantik ini", kata tuan tempayan kepada tempayan yang retak itu. Tempayan retak sangat terharu...

" Walaupun Guru Besar turun dari kayangan atau keluar dari lapisan bumi yang ketujuh tanpa sokongan tuan/puan para guru dan staf sekolah ini siapalah saya. Tidak kira apa gred, tugas dan peranan tuan/puan, tuan/puan sangat bermakna dan memberi sumbangan berguna kepada sekolah ini", kata aku mengakhir mesyuarat pertama sebagai Guru Besar di sekolah baru itu. Mereka dengan wajah ceria tersenyum menerpa bersalaman denganku.......

(unit sekolah rendah sektor pengurusan sekolah JPNT)

skpct 2013...pandaftaran murid th 1-6



by...... hjabmubim

Khamis, 20 Disember 2012

Mesyuarat Guru 2013

Mesyuarat Guru 2013 berlansung dengan mesra dengan pentadbir baru  Tuan Haji Md Nawawi bin Muda. Dasar-dasar pentadbiran baharu  diperkenalkan. dan diharapkan akan mendapat kerjasama semua pihak.





.

Isnin, 3 Disember 2012

Selamat Datang Guru Besar Baharu

Selamat datang kepada Guru Besar Tn Hj Md Nawawi b Muda ke SKPCT untuk memulai tugas sebagai Guru Besar pada berkuatkuasa 3 Disember 2012 bagi menggantikan Tn Hj Ismail Abd Rahman. Tahniah kepada Guru Besar kerana telah dinaikkan pangkat dari Penolong Kanan Kurikulum di SK Sultan Sulaiman Satu ke Guru Besar di SKPCT. Semoga idea-idea baharu dan dasar-dasar pentadbiran yang akan dibawa membolehkan SKPCT terus unggul.....


Ahad, 2 Disember 2012

Guru Besar Bertukar


Hj Ismail b Abd Rahman
Guru Besar TnHj Ismail b Abd Rahman bertukar ke SK Bukit Bayar berkuatkuasa 1 Disember 2012. Beliau hanya sempat berkhidmat selama 6 bulan sahaja di sekolah ini bagi mengantikan guru besar sebelum ini. Selamat bertugas di tempat baharu , pihak admin memohon maaf seandainya ada sebarang keslahan dan kesilapan selama besama.

Jumaat, 23 November 2012

Takwim Persekolahan 2013


Bahagian pengurusan sekolah harian telah mengeluarkan Takwim Persekolahan bagi sesi 2013 menerusi portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di url http://www.moe.gov.my



Rumusan UPSR

KUALA TERENGGANU - " Walaupun pencapaian negeri agak merosot sedikit tetapi masih mengatasi pencapaian peringkat nasional bagi ketiga-tiga kreteria iaitu Gred Purata Negeri (0.10 atasi GPN), Pencapaian minimun Gred C(0.17% atasi nasional) dan Calon Cemerlang semua A (4.28% atasi nasional)", kata En. Zakaria Hussin, Pengarah Pelajaran Terengganu sewaktu mengumumkan keputusan UPSR 2012 di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPN Terengganu pagi ini.

Menurut beliau pada tahun 2012 seramai 23,196 orang murid telah mendaftar sebagai calon UPSR. Seramai 22,887 (98.67%) adalah calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan daripada jumlah tersebut  Gred Purata Negeri meneurun 0.07 daripada 2.14 tahun 2011 kepada 2.21 pada tahun ini. Sementara peratus calon yang mendapat lulus minimum Gred C (tidak termasuk semua A) bagi semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1.57% daripada 55.54% pada tahun 2011 kepada 57.11% tahun 2012. Namun begitu calon Cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 2.34% iaitu 15.56% pada tahun 2011 kepada 13.22% pada tahun 2012.

Sementara itu pencapaian bagi subjek Bahasa Melayu - Pemahaman di SK berlaku penurunan pada Gred A sebanyak 5.45% berbanding 2011 dan penguasaan minumum (Gred ABC) menurun sebanyak 2.48%. Bagaimanapun Bahasa Melayu- Penulisan untuk Gred A meningkat 3.92% dan ABC meningkat sebanyak 0.48%. Sementara itu Bahasa Melayu di SJK- Pemahaman untuk Gred A menurun sebanyak 6.14% dan ABC pula menurun sebanyak 10.68%. Walau bagaimanapun Bahasa Melayu -Penulisan SJKC Gred A  meningkat 6.56% dan ABC meningkat sebanyak 4.25%

Pencapaian Pencapaian Bahasa Inggeris SK bagi Gred A dan ABC menurun 2.43% dan 3.00%. Di SJKC pula Gred A Bahasa Inggeris meningkat sebanyak 2.89% . Manakala pencapaian Matematik SK dan SJKC  dengan sukatan pelajaran dan kertas yang sama Gred A merosot sebanyak 0.59% dan ABC juga menurun kepada 0.09%.  Begitu juga bagi Sains di SK dan SJKC yang sukatan dan kertas yang sama Gred A merosot kepada 6.91% dan ABC merosot kepada 2.07%.

Sekolah-sekolah di PPD Hulu Terengganu menduduki senarai terbanyak 10 sekolah terbaik UPSR 2012 berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS);
  1. SK Tapu , Hulu Terengganu (GPS : 1.12)
  2. SMK Chalok, Setiu (GPS : 1.23)
  3. SK Kemat, Hulu Terengganu (GPS : 1.31)
  4. SK Teris, Hulu Terengganu (GPS: 1.34)
  5. SK Kuala Berang, Hulu Terengganu (GPS: 1.37)
  6. SK KG. Bari Sungai Tong, Setiu (GPS : 1.50)
  7. SK Kampung Jaya, Setiu (GPS:1.51)
  8. SK Rantau Petronas, Kemaman (GPS : 1.51)
  9. SK Tepus, Dungun (GPS: 1.51)
  10. SK Tok Dor, Besut (GPS : 1.52)
sumber: http://unitrendahspsjpnt.blogspot.com/2012/11/pengumuman-keputusan-upsr-terengganu.html
PENAFIAN : Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakanyang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.