Sejarah Sekolah





Sekolah Pusat Chabang Tiga terletak diatas kawasan seluas 11.082 ekar telah dibina pada sebelum merdeka sekitar tahun 1938, dikenali dengan nama Malay School Chabang Tiga, kemudiannya ditukar kepada Sekolah Umum Chabang Tiga Laki-laki. Pada 1 Januari 1967 nama Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga diperolehi dan kekal hingga ke hari ini.

Gambar : Malay School Chabang Tiga, Kuala Terengganu  sebelum merdeka :
Sumber : Buku 'Pembangunan Terengganu Dahulu dan Sekarang Cetakan pertama 1999.




Sekolah ini dibina ditepi jalan dikawasan perkampungan yang sebahagian besar ibu bapa pelajar terdiri daripada nelayan, petani, buruh, penjaja, tukang rumah dan kakitangan kerajaan.



Pada asasnya sekolah ini mempunyai dua buah bangunan separuh kekal dengan 10 bilik darjah bagi menampung 404 pelajar, kemudian ditambah dua buah bangunan lagi (1960) menjadikan kesemuanya 20 bilik darjag bagi menampung 893 orang murid. Bagi mengatasi masalah pertambahan murid, pada tahun 1984 sebuah bilik sumber dan tandas telah dibina. Pertambahan pelajar dari tahun ke tahun, menyebabkan sekolah ini terpaksa dibuka kepada dua sesi sehingga tahun 1990.


Pada tahun 1991, dua buah bangunan baru dua tingkat telah digunakan lengkap dengan 10 bilik darjah, bilik tayang, perpustakaan dan bilik pandang dengar, surau, bilik rawatan, klinik pergigian, bilik guru, pejabat serta sebuah kantin baharu. Terbinanya bangunan ini membolehkan sekolah ini mengadakan satu sesi persekolahan sahaja yang dapat menampung seramai 1200 orang pelajar dengan 52 orang guru.


Bermula daripada Jun 2000 tiga blok lama yang terletak di hadapan sekolah telah dirobohkan bagi mendirikan dua blok bangunan yang setiap satunya mengandungi tiga tingkat dan empat tingkat. Blok-blok tersebut mengandungi sebuah dewan terbuka, sebuah makmal sains, bilik muzik, bilik komputer, klinik pergigian dan pejabat serta 13 bilik darjah. Bangunan ini dapat digunakan pada bulan April 2001.

Pada tahun 2016 pula sebuah dewan baharu telah dibina bersebelahan dengan kantin sekolah yang telah diberi nama Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung (GSTB) dan dewan ini juga telah diberi penjenamaan baharu dengan nama Dewan Cikgu Shafruddin Ali Hussin pada 19 Februari 2019 bersempena nama Tuan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.


Sekolah ini menempa pelbagai sejarah di era kegemilangannya, sama ada di peringkat zon, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Pada tahun 1992 sekolah ini telah dinobatkan sebagai SEKOLAH HARAPAN NEGARA, sementara pada tahun 1993 memenangi Pertandingan 3K Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 2002 sekolah ini telah memenangi Anugerah Emas dalam Pertandingan Juara antara Juara Sekolah Harapan Negara. Kemuncaknya, tanggal 3 Mac 2015 sekolah ini telah dinobatkan sebagai SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN.

Pintu Utama di tahun 1971


Pintu Utama pada tahun 1990-an


Pintu Utama sekarang


Dewan Cikgu Shafruddin Ali Hussin







PENAFIAN : Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakanyang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.