Ahad, 9 September 2012

Surat Terbuka Untuk Calon Calon UPSR 2012 Terengganu

Assalamualaikum anak-anak calon UPSR Terengganu 2012 Apa khabar kalian ? Semoga semuanya sihat dan bersemangat. Tenang dan tenteram. Masa pertarungan yang dinanti sekian lama kian mampir. Usah gentar, usah takut. Ketakutan hanyalah ada pada jiwa sang pengecut. Kamukan bukan insan seperti itu . Tidak ! Kamu pahlawan dan harapan yang telah diasuh dan dilatih oleh para pendeta untuk pertarungan ini. Anak-anak kami yang berani, Sebelum melangkah ke gelanggang pada 11,12 dan 13 September 2012 nanti ingin kami berpesan dan menitipkan beberapa petua agar selari pencak dengan rentaknya, selagu seirama buah gurindamnya serta arif bijaksana mentafsir tipu muslihat persoalannya. Pertama jangan alpa membaca Bismillah , kunci pembuka resah dan susah. Berkatnya tidak payah dicerita. Semoga dengan rahmat namaNya segala urusan bakal menjadi mudah dan sempurna. Namun ingat, sebelum turun ke gelanggang salami tangan ibuayah yang dikasihi. Mohon keampunan dan restu. Insyaallah doanya mustajab serasi dengan izin dan kehendak Allah. Mudah-mudahan pertarungan menjadi mudah, kejayaan menjadi milik dengan gah. Anak-anak yang budiman, Jangan sesekali bergopoh-gapah,resah-gelisah. Sediakan awal segala peralatan dan keperluan. Syaitan sentiasa mahu kita lalai dan kucundang. Justru lawan syaitan itu dengan ketenangan dan kebijaksanaan. Teliti soalan dan jawapan dengan minda sejati dan pandangan mata hati bukannya gopoh-gapah membuta –tuli. Biar nampak mudah namun sabar,jangan terpesona godaan syaitan madah berhelah. Insyaallah dengan “ketenangan dan kesabaran” yang kusut dapat dilerai, yang sukar dapat diungkai. Anak-anak yang bijaksana, Sesudah selesai sesuatu pertarungan dan didapati ada berlaku sedikit kesilapan tingkah dan langkah, jangan sesal dan gunda-gelana. Jangan terbuai dalam lamunan emosi hingga hilang fokus dan kosentrasi. Kesilapan kecil bukanlah pembunuh kepada kemaraan perjuangan yang lebih besar. Tumpukan segala daya dan tenaga untuk memenangi dan menguasai pertarungan seterus nya. Jadikan kesilapan yang ada itu guru untuk mengajar kita supaya bijaksana,sabar dan teliti. Ingat orang yang bijaksana itu , “ Apa yang diusaha dan dicapai hari ini lebih baik dari semalam dan apa yang diusaha dan dicapai besok lebih baik dari hari ini “ Anak-anak pewaris bangsa, Jangan sesekali memandang enteng pertarungan ini. Pertarungan UPSR ini adalah yang pertama dan terakhir. Tiada lagi pertandingan ulangan sama ada menang atau kecundang. Tidak ada. Oleh itu guna peluang ini sebaik mungkin. Jangan undur dan mengaku kalah. Kamu adalah sang juara terhebat. Harapan untuk membawa obor amanah dan maruah diri,keluarga,bangsa,agama dan negara pada masa depan. Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan bermacam lagi sekolah hebat sedang menunggu kamu. Kamu adalah permata kami yang perlu dicanai di sekolah-sekolah hebat ini agar gemerlap menyinari semesta tamaddun bangsa pada masa depan . Jangan lepas peluang ini. Rebut,rebut,re but dan rebut. Anak-anak yang bersemangat waja, Katakan kepada dirimu sendiri.. Jika ada 1,000 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012 Akulah salah seorang daripadanya…. Jika ada 100 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012 Katakan kepada dirimu sendiri.. Akulah salah seorang daripadanya… Jika ada 10 manusia yang beroleh 5A UPSR 2012 Katakan kepada dirimu sendiri… Akulah salah seorang daripadanya… Jika ada 1 sahaja manusia yang beroleh 5A UPSR 2012 Katakan kepada dirimu sendiri.. AKUlah itu…. Anak-anak kami yang kami kasih kami doakan… Ya Allah Ya Tuhan Kami, Berikah anak-anak kami yang bakal menduduki UPSR Kekuatan minda, jiwa, rohani dan spiritual, Campak ke dalam hati mereka ketenangan dan keberanian.. Ya Allah Ya Rahim Dengan sifat penyayang dan pengasihMU Berikan kesihatan yang mantap serta terhindar dari Segala penyakit dan musibah sepanjang Menduduki ujian UPSR ini… Lapang dan permudahkanlah urusan mereka menghadapi ujian ini agar nanti bakal menjadi anak-anak pintar soleh mengenang budi serta pendokong ummah dan agamaMu dipersada dunia dengan cemerlang dan terbilang. Ya Allah… Hanya kepadaMu kami memohon Keampunan dan pertolongan Amin…. Salam Perjuangan USR Blogger Team JPN Terengganu 09.09.2012 hjabmubim
PENAFIAN : Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakanyang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.