Isnin, 29 Disember 2008

SELAMAT MENYAMBUT AWAL MUHARRAM

Awal muharam adalah perayaan bagi umat Islam apabila masuknya tahun baru kalendar Hijrah. Di sebalik sambutan tersebut, ianya mengandungi satu peristiwa yang besar dalam sejarah Islam dan seterusnya merubah seluruh sistem peradaban dunia sehingga hari ini. Hijrah bermula ketika zaman Nabi Muhammad saw, apabila beliau diancam bunuh oleh kafir Quraish. Apabila mendapat arahan daripada Allah supaya beliau berhijrah ke Masinah bersama Abu Bakar,beliau menggantikan pemuda berani, Ali untuk menggantikan tempat tidur beliau. Pembunuh kafir Quraish telah terpedaya dengan taktik Nabi.

Dalam perjalanan, baginda ditemani oleh sahabat karib baginda, Abu Bakar. Sepanjang perjalanan, Abu Bakar yang menjadi pendengar setia, perawat duka nestapa, pembela dan pelindung Nabi.Sehinggalah ketika orang kafir berjaya menjejaki baginda dan Ab Bakar dalam satu gua, akhirnya mereka berjaya dilindungi Allah dengan mengaburi mata kafir Quraish. Akhirnya setelah menemui pelbagai ranau berduri sepanjang perjalanan hijrah ke Madinah, akhirnya baginda dan Abu Bakar disambut dengan suasana meriah dan syukur,kerana Nabi yang mulia ini selamat sampai ke tanah Yathrib yang akhirnya ditukar ke Madinah.

Ketibaan Nabi disambut dengan linangan air mata kesyukuran dan ketakjuban oleh penduduk Madinah, sehingga ramai orang berebut- rebut untuk menjadikan baginda tetamu kehormat bagi rumah mereka. Akhirnya, sahabat Ayub Al- Ansari berjaya mencuri perhatian dengan menjadi tuan rumah kepada Nabi yang mulia ini. Ayub merupakan sahabat yang berusaha menakluk Istanbul, akan tetapi tidak berjaya dan makamnya berada di Kota Istanbul hari ini.

Episod perjalanan Nabi dari Mekah ke Madinah ini merupakan catatan bersejarah peradaban dunia hari ini. Perjalanan beliau bukanlah perjalanan biasa, malah bukan juga perjalanan yang melarikan diri dari ancaman kafir di Mekah semata. Akan tetapi misi hijrah beliau ialah misi Ilahi yang membawa risalah kebenaran yang akhirnya menjadikan agama Islam terus berkembang,dan Islam menjadi peradaban manusia yang berjaya.

Dalam konteks kehidupan kita, hijrah bukan semata hijrah tempat atau lokasi, akan tetapi juga membawa maksud hijrah sikap. Hijrah sikap merupakan keutamaan kita hari ini yang perlu difahami dengan mendalam. Ini kerana, pelbagai masalah, isu, ancaman, ujian melibatkan sikap kita. Mengapa ramai manusia hari ini cenderung untuk melakukan kejahatan? Mengapa juga semakin banyak manusia yang dilahirkan bijak pandai tetapi menipu? Mengapa peperangan sering berlaku? Kefasadan sering berlaku? Ini semua kerana sikap manusia yang rakus dan jahil itu.

Perubahan sikap merupakan satu keperluan mendesak bagi kita hari ini. Dalam satu hadis Nabi pun diungkapkan bahawa beliau diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Tuntutan ini menjadi syarat utama jika mahu menjadikan kejayaan sesebuah peradaban dan kaum, dan paling kurang pun menjadikan kita seorang individu yang berjaya, iaitu terkandung dalam surah Ar’- Ra’d: 11 yang berbunyi,” Allah tidak akan mengubah setiap kaum itu jika mereka berubah diri mereka sendiri”.

Sebagai bangsa yang mula mencari arah, bangsa yang sering dicemuh kerana pelupa, lesu, malas, tidak pandai berbisnes, lembap dan sebagainya, seharusnya awal Muharam ini menjadi titik tolak untuk merubah sikap. Kejayaan sesebuah bangsa mahupun tamadun itu bukanlah berpunca daripada kepandaian mereka, akan tetapi sikap mereka yang sentiasa ingin berusaha dan mengejar kejayaan.

Maka hari ini, kita perlu mengorak menghayati semangat hijrah Nabi, memulakan sikap yang baru dan seterusnya berazam untuk menjadi manusia terpilh dan berjaya.Salam Awal Muharam.


SOURCE: http://www.iluvislam.com/
PENAFIAN : Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakanyang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.